Seram! Misteri Kemunculan Hantu Kum Kum Di Malaysia
November 2, 2012
Seram! Misteri Kemunculan Hantu Kum Kum Di Malaysia
Jika anda perasan, Astro Ria pernah menayangkan drama Hantu Kum Kum suatu ketika dahulu. Walaubagaimanapun hantu Kum Kum tidaklah sepopular nama-nama hantu yang lain seperti pocong, langsuir dan sebagainya. Dalam drama Geng Surau turut ada menyebut tentang hantu Kum-Kum ini. Baiklah pada artikel kali ini, Kisahbest.my berkongsi tentang bagaimana kemunculan sebenar Hantu Kum-Kum di Malaysia ini.
Sekadar gambar hiasan
Sekitar 1983 hingga 1984, Malaysia pernah digemparkan dengan kemunculan Hantu Kum Kum. Hantu ini dikatakan jelmaan seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam untuk kekal cantik selama-lamanya. Konon ceritanya dia tidak berjaya menyempurnakan syarat ilmu hitam yang menghendaki dia membunuh 99 wanita cantik yang muda dalam masa 3 bulan. Kemunculan Hantu Kum Kum ini telah menjadi bualan segenap lapisan masyarakat, sehinggakan gambar lakarannya pernah disiarkan oleh sebuah akhbar utama.
Kononnya lagi oleh kerana hanya 10 orang sahaja baki mangsa diperlukan, dia diberi peluang untuk menyempurnakan syarat ajarannya tetapi dia hanya boleh muncul dalam sifat seorang perempuan bertelekung dan cuma nampak mata. Juga dia hanya boleh keluar di waktu siang.
Kononnya juga, kalau dia memberi salam, bunyinya ialah ” Asalamualaikum .. kum .. kum “. Jika sesiapa menjawab dan membuka pintu rumah maka dia akan melunaskan hajatnya.
Maka ramailah yang jadi takut nak menjawab salam apabila tetamu datang .. tetapi tak sedikit juga tetamu yang mengusik tuan rumah dengan memberi salam yang ‘meresahkan’ itu.
Tentang kemunculan Hantu Kum Kum itu, nampaknya ada beberapa perbezaan di kalangan para pengulas. Justeru itu saya telah cuba mencari maklumat tambahan dan saya kira telah menemui fakta yang lebih sahih. Sebagai rumusan ke atas teori tentang kemunculan Hantu Kum Kum itu, di sini saya paparkan info yang dipetik dari wikipedia :
Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.
Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XX perawan.
Matlamat hantu kum-kum dikatakan memulihkan wajah penuntutnya yang terlanggar pantang.
Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan “Kum-Kum” sambil mengenakan jibab.
Hantu kum-kum merupakan cerita hantu moden yang mula berkeliaran sekitar 1970-an ketika kebangkitan kesedaran semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para pemudi mula mengenakan hijab dan perkara ini tidak disenangi oleh kumpulan yang mengenakan skirt mini. Dengan itu hantu kum-kum dicipta sebagai sindiran kepada kumpulan yang memegang kepada ajaran Islam ketika itu.
Begitulah halnya dengan Hantu Kum Kum. Sangat berbeza intipati berbanding langsuir atau puntianak. Kemunculannya adalah dalam bentuk simbolik untuk menggambarkan pendirian sebahagian dari kelompok masyarakat. ‘Kehadiran’ Hantu Kum Kum pada zaman kecil saya dulu apa pun akan tetap menjadi nostalgia, apabila mengingati aksi-aksi sakat menyakat serta ketakutan yang tak pasal-pasal timbul di kalangan budak2, dan kini ia jadi senyuman bila dikenang.
Sumber : Tengku Nizam