Kisah Hazrat Abu Hurairah Semasa Dirinya Kelaparan

| January 9, 2013

Kisah Hazrat Abu Hurairah Semasa Dirinya Kelaparan | Pernahkah kita berasa lapar? Tipulah kalau tidak pernah berasa lapar kan. Namun sanggupkah kita berkongsi makanan dengan orang lain. Mungkin ada yang sanggup, mungkin juga ada yang tidak. Namun terpulang kepada seseorang itu bagaimana cara untuk berkongsi rezeki. Kali KisahBest.My mahu berkongsi tentang kisah Hazrat Abu Hurairah semasa dirinya berasa lapar. Hazrat Abu Hurairah tetap mendahulukan orang lain, biarpun dirinya dalam keadaan lapar.

rezeki

Hazrat Abu Hurairah r.a berkata, “Sekiranya kamu melihat keadaan kami dahulu, sebahagian daripada kami tidak mempunyai makanan buat beberapa waktu walaupun hanya untuk menegakkan tulang belakang. Disebabkan kelaparan, kadang-kadang saya menekan dada ke bumi dan kadang-kadang saya meniarap dengan meletakkan segala kekuatan ke perut dan kadang-kadang saya mengikat batu pada perut.”

Pada suatu hari saya duduk di jalan yang biasa dilalui oleh para sahabat yang besar. Hazrat Abu Bakar r.a telah lalu. saya mula bertanya sesuatu kepada beliau dengan harapan beliau akan terus melayan percakapan saya dan terus membawa saya ke rumah. Kemudian seperti biasa beliau akan melayan saya dengan menghidangkan apa-apa makanan yang ada di dalam rumah. Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti itu (mungkin kerana tidak terlintas di hati beliau atau kerana telah diketahui keadaan di rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).

Selepas itu Hazrat ‘Umar r.a pula yang lalu. Bersama beliau pun keadaan yang sama telah berlaku. Kemudian Rasulullah s.a.w yang lalu. Melihatkan saya, Baginda s.a.w pun tersenyum. Baginda s.a.w telah memahami keadaan dan tujuan saya. Baginda s.a.w berkata, “Abu Hurairah, ikutlah bersama saya.”

Lalu saya pun terus bersama Baginda s.a.w. Baginda telah pulang ke rumah. Di dalam rumah terdapat satu mangkuk susu yang telah dihantarkan kepada Baginda s.a.w. Baginda bertanya. “Dari manakah susu ini?”

Telah dijawab, “Dari tempat sekian untuk Rasulullah sebagai hadiah.”

Kemudian Baginda s.a.w bersabda, “Abu Hurairah, pergilah panggil ahlussuffah dan bawa mereka ke mari.”

Ahlussuffah dikira sebagai tetamu Islam. Mereka ialah orang-orang yang tidak mempunyai rumah dan tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak ada pengurusan makanan yang tetap untuk mereka. Bilangan mereka tidak menentu mengikut masa. Namun, pada masa kisah ini berlaku jumlah mereka ialah tujuh puluh orang. Menjadi kebiasaaan Rasulullah s.a.w juga bahawa mereka dipasangkan berdua-dua atau berempat-empat dan dijadikan tetamu kepada para sahabat yang agak kaya. Sekiranya terdapat pemberian sedekah dari mana-mana maka akan dihantar kepada mereka tetapi Baginda s.a.w sendiri tidak akan menyertai mereka. Sekiranya terdapat pemberian hadiah dari mana-mana maka Rasulullah sendiri akan bersama mereka.

Rasulullah s.a.w telah memerintah agar memanggil mereka. Hati saya terasa berat memikirkan jumlah susu itu. Banyak mana sangat untuk membolehkan saya menjemput mereka semua. Bagaimana mungkin untuk setiap orang? Sedangkan susu itu tidak mencukupi untuk satu orang pun. Selepas mereka dijemput, sayalah yang akan diperintahkan untuk memberi mereka minum. Oleh kerana itu, saya akan menjadi orang terakhir minum dan sudah tentu susu itu tidak akan tinggal sedikit pun. Namun demikian, apakah ada jalan lain selain mentaati Nabi s.a.w?

Saya telah pergi dan menjemput kesemua mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, “Nah ambil, berilah mereka minum.”

Saya mengambil mangkuk itu dan menyerahkan kepada seorang demi seorang daripada mereka dan setiap orang akan minum sepuas-puasnya kemudian barulah dikembalikan mangkuk itu kepada saya. Demikianlah saya telah memberi minum kepada mereka semua dan kesemua mereka telah minum dengan puas.

Kemudian Rasulullah mengambil mangkuk tadi lalu memegang mangkuk itu dengan tangan Baginda sambil memandang kepada saya dengan tersenyum. Baginda s.a.w berkata, “Sekarang hanya tinggal kamu dan saya sahaja.”

Saya menjawab, “Begitulah.”

Baginda mengarahkan, “Ambil dan minumlah.” Saya pun mula minum. Baginda s.a.w mengarah lagi, “Minumlah lagi.” Saya pun minum lagi. Akhirnya saya berkata kepada Baginda “Sekarang saya tidak boleh minum lagi.” Selepas itu Rasulullah menghabiskan susu yang masih tinggal itu.

P.S. I – 6 Tempat Paling Best di Jepun!
P.S. II – 10 Tempat Eco Paling best di UK
P.S. III – Tasik Ais Gergasi Dijumpai Saintis di Marikh

Sumber : Islam2u

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Carian kata kunci Google:

  • kisah abu hurairah
  • kisah kehidupan abu huraira ra

Tags: , , , , , , , , , , , , ,

Category: Kisah Agama

Tentang Penulis ()

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah Al-‘Alaq 96: 1)
McDonalds

Comments are closed.