Biar Betul! Kereta Alphard Terbakar Angkara Seekor Lembu

| December 3, 2012
 

Biar Betul! Kereta Alphard Terbakar Angkara Seekor Lembu | Kes terlanggar lembu bukanlah satu perkara yang baru. Ini kerana ramai yang mempunyai pengalaman berhadapan situasi cemas terlanggar lembu. Tambahan pula, kes terlanggar lembu juga membabitkan kes kematian. Baru-baru ini, KisahBest.My difahamkan terdapat sebuah kereta jenis MPV melanggar seekor lembu dan menyebabkan ia terbabas lalu terbakar.

Perjalanan sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak pulang ke Johor selepas membeli-belah di bandar raya ini, bertukar detik menakutkan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka merempuh seekor lembu sebelum terbabas dan terbakar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berdekatan persimpangan Telok Mas, dekat sini, malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu turut menyebabkan lembu berkenaan mati di tempat kejadian. Menceritakan detik cemas itu, mangsa, Lim Yok Chin, 46, berkata dia yang memandu kereta berkenaan baru selesai membeli-belah bersama enam ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 10 tahun di sebuah pusat beli-belah terkemuka. “Setibanya di lokasi kejadian, saya yang berada di lorong kiri dipotong sebuah kenderaan lain sebelum terkejut melihat seekor lembu tiba-tiba muncul atas jalan.

HANGUS…anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran MPV dalam kejadian berdekatan persimpangan Telok Mas, malam kelmarin. Gambar kecil, keadaan lembu yang mati dilanggar.

“Pada waktu itu, saya gagal mengawal kereta lalu melanggar binatang berkenaan sebelum terbabas. Sejurus rempuhan, saya mendapati enjin turut berasap dan segera mengarahkan semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin. Menurut ahli perniagaan itu, dalam tempoh 10 minit, kereta miliknya terbakar dan mereka hanya mampu melihat berikutan api terlalu marak.

“Apabila diperhatikan, saya mendapati lembu yang dilanggar turut mati dan tidak pasti sama ada ia tercampak atau sebaliknya berikutan kejadian berlaku begitu pantas. “Saya gagal menyelamatkan apa-apa di dalam kereta termasuk barangan terutama tilam yang baru dibeli. Nilai semua barangan itu dianggarkan RM1,300,” katanya yang menetap di Muar.

Kata Lim yang masih terkejut dengan kejadian itu, kereta berkenaan dibeli dua tahun lalu dengan harga RM180,000.

“Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ini.

“Selain itu, saya berterima kasih dengan keprihatinan orang awam yang membantu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya yang turut meminta pihak berkaitan berbuat sesuatu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati dua jentera bomba berada di lokasi kejadian mengawal dan memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

P.S. I – 5 Tempat Paling Best di Malaysia
P.S. II – 8 Makanan Paling Menarik di UK
P.S. III – Perkahwinan Dengan Penguin di Langkawi. Biar betul???!

Sumber : Harian Metro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

Category: Kisah Kemalangan

Tentang Penulis ()

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah Al-‘Alaq 96: 1)
McDonalds

Comments are closed.